Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Petronas Floating LNG SATU Hantar Kargo ke-50

By 6 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melakarkan satu lagi pencapaian dalam teknologi gas asli cecair terapung (FLNG) susulan penghantaran kargo LNG ke-50 dari kemudahan FLNG pertamanya, Petronas Floating LNG Satu (PFLNG Satu).

Menurut Petronas, kargo tersebut berjaya dimuatkan pada 25 September, 2021 ke kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) Seri Cemara yang dikendalikan oleh MISC Bhd untuk dihantar ke Taiwan.

Kargo ke-50 merupakan satu pencapaian penting bagi Petronas, perintis dalam industri ini, dan membuktikan daya maju pengeluaran gas luar pesisir dengan penyelesaian FLNG, jelas syarikat minyak negara itu dalam kenyataan pada Selasa.

Naib Presiden Aset LNG, Petronas, Abang Yusuf Abang Puteh berkata pihaknya berbangga atas pencapaian kargo dari PFLNG Satu, yang membuktikan kebolehpercayaan berkelas dunia terhadap kemudahan FLNG pertama Petronas.

Beliau berkata apa yang lebih penting adalah komitmen daripada kalangan warga kerja untuk menyediakan bekalan LNG tanpa henti kepada pelanggan.

“Pencapaian ini menunjukkan penerajuan kami dalam industri LNG, di mana kami terus memanfaatkan kelebihan penggerak pertama untuk menjana perolehan dari medan gas yang terpencil dan terbiar dengan penyelesaian FLNG.

“Meskipun beroperasi dalam persekitaran mencabar ditambah lagi dengan pandemik COVID-19, PFLNG Satu telah mengeluarkan dan mengeksport hampir 3.18 juta tan LNG dari medan gas Kebabangan dan Kanowit (masing-masing di luar pesisir Sabah dan Sarawak) sejak 2017, dan pada masa sama mengekalkan standard kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSSE) yang tinggi,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Kargo FLNG pertama dihasilkan dari medan gas Kanowit pada 2017.

PFLNG Satu juga merupakan kemudahan FLNG pertama di dunia yang berjaya mengeluarkan LNG dari dua medan gas terpencil apabila ia dipindahkan dari medan gas Kanowit ke lokasi semasa di medan gas Kebabangan pada 2019.

PFLNG Satu direka bentuk untuk beroperasi pada kedalaman air hingga 200 meter dengan kapasiti pengeluaran 1.2 juta tan LNG setahun.

Pada masa ini, Petronas adalah satu-satunya syarikat tenaga global di dunia yang memiliki dan mengendalikan dua kemudahan FLNG.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda