
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/PKM DUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Cetusan idea untuk mewujudkan Program Membaca al-Quran dilihat mampu membawa masyarakat menghayati al-Quran sepanjang negara menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir Mohd Fadhil Wahab, berkata cetusan idea ini dilaksanakan bagi memastikan masyarakat Islam di sini dekat dengan al-Quran dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT ketika menghadapi wabak COVID-19.
“Kini seluruh dunia diuji dengan penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan banyak pihak terkesan dalam kehidupan seharian mereka.
“Di negara kita, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah sedikit sebanyak cara kehidupan kebanyakan rakyat,” katanya ketika ditemui ketika program berlangsung di Masjid Nur Bakti Wakaf Baru, di sini, semalam.
Menurut Fadhil, al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang dapat membimbing insan ke jalan benar dan tidak hairanlah setiap umat Islam meletakkan al-Quran sebagai dasar dan matlamat utama hidup.

Peserta mengucapkan terima kasih dan bersyukur dengan kewujudan program berkenaan yang diadakan di masjid sekitar Seberang Takir, Kuala Nerus.
“Justeru, dengan pelaksanaan program ini secara tidak langsung, tercapai matlamatnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur Bakti, Wakaf Baru Mohd Sabri Othman, berkata sambutan jemaah yang hadir sangat menggalakkan dan program bercorak keagamaan ini mampu untuk membimbing setiap invidu supaya sentiasa bersabar dan redha ke atas ujian yang diberikan.
“Kita perlu mengambil tadabbur daripada al-Quran sebagai motivasi kepada setiap insan bahawa semua yang berada di atas muka bumi ini di dalam genggamanNya.
“Justeru itu, kita perlu sedar hakikat kehidupan ini dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah tambahan pula ketika sedang menghadapi pelbagai kesulitan dan ujian ketika ini,” katanya.
-ii-