
PUTRAJAYA, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Gas Malaysia Bhd mengumumkan purata harga jualan gas asli untuk segmen pengedaran oleh anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Energy and Services Sdn Bhd (GMES).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Gas Malaysia berkata bagi suku keempat, bermula 1 Oktober, 2021 hingga 31 Disember, 2021, purata harga jualan gas asli ditetapkan pada RM36.42 setiap sejuta unit terma British (MMBtu).
Purata harga jualan tersebut termasuk tarif pengangkutan sebanyak RM1.19 setiap MMBtu dan tarif pengedaran sebanyak RM2.05 setiap MMBtu seperti yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga sebelum ini, katanya.
“Pelepasan Kos Gas sebanyak RM0.62 setiap MMBtu akan dihentikan untuk gas dihantar mulai 1 Oktober, 2021,” katanya, sambil menambah penentuan harga jualan ini tidak terpakai bagi jualan gas asli untuk kenderaan gas asli dan gas petroleum cecair yang dibekalkan dalam silinder gas atau secara pukal.
“Semakan harga jualan itu akan terus menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021,” menurut Gas Malaysia.
Dalam makluman berasingan, pengedar gas asli itu berkata surcaj sebanyak 62 sen setiap MMBtu, sebagai sebahagian daripada tarif pengedaran untuk pengguna kemudahan Sistem Pengedaran Gas Asli yang dimiliki oleh anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD), akan dihentikan mulai 1 Oktober, 2021.
“Oleh itu, tarif pengedaran GMD di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif untuk semua jenis penggunaan adalah RM2.05 setiap MMBtu dari 1 Oktober, 2021 hingga 31 Disember, 2021.
“Gas Malaysia ingin menjelaskan bahawa kelulusan tarif itu tidak terpakai untuk jualan gas petroleum cecair yang dibekalkan dalam silinder gas atau secara pukal,” katanya.
— BERNAMA