
Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Sembilan semalam tetap berlangsung dengan meriah dan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Zul Fadhli Abd Aziz, HSN merupakan platform terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa.
“HSN merupakan acara tahunan sejak 2015, bagaimanapun tidak berlangsung tahun lalu susulan penularan COVID-19 yang berada pada tahap serius ketika itu.
“Meskipun kita diuji dengan pandemik COVID-19 dan ianya langsung tidak mematahkan semangat kementerian serta jabatan dalam menjayakan sambutan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini semalam.
Menurut Khairy, pandemik COVID-19 mempengaruhi pola dan cara kita berfikir, hidup bekerja dan bersukan.
“Pandemik ini tidak menghalang kita untuk terus kekal cergas dan mengamalkan gaya hidup aktif dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya sektor sukan dan rekreasi yang sedang berkuatkuasa,” ujarnya.
Sambutan Hari Sukan Negara 2021 turut dilakukan serentak di Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Antara aktiviti menarik sempena HSN Negeri Sembilan, MEGA Aerobic Chalenge, KBS Fit and Active, KBS Virtual Run, KBS Fitness Chalenge, KBS Myfit@Home dan KBS Freestyle Challenge.
-FF