
PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menyeimbangkan kepentingan industri dan peranannya sebagai syarikat tersenarai yang memberikan pulangan setimpal kepada rakyat, kata Pengerusi Datuk Seri Hasan Arifin.
“Kami bertanggungjawab kepada para pemegang saham, lebih-lebih lagi kepada institusi-institusi pelabur yang mana pulangan kepada mereka akhirnya dinikmati oleh rakyat.
“Di antara 2018 hingga 2020, TNB telah membayar dividen berjumlah RM9.9 bilion kepada para pemegang sahamnya dan RM7 bilion lagi kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) – satu jumlah yang besar yang semestinya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam pertemuan pertamanya dengan barisan pengurusan tertinggi TNB, di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menambah TNB akan terus mendukung pertumbuhan dan usaha pemulihan ekonomi negara menerusi perbekalan elektrik yang berdaya harap, mencorakkan semula ekonomi melalui inisiatif transformasi industri tenaga, dan membantu golongan sasar yang memerlukan.
“Dalam senario ekonomi semasa, yang mana Malaysia masih menghadapi cabaran daripada pandemik COVID-19, TNB perlu teguh dari segi kewangan bagi meneruskan usaha ini.
“Saya dimaklumkan TNB merupakan antara organisasi terawal tampil membantu kerajaan menangani Covid-19,’’ kata Hasan.
Beliau menyatakan bahawa dari 2018 hingga 2020, TNB menyumbang sejumlah RM21 bilion kepada ekonomi dalam pelbagai bentuk termasuk dividen, kontrak kepada vendor, cukai, zakat, inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan bantuan Covid-19.
Hasan dilantik menjadi Pengerusi TNB pada 1 Oktober, menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.
— BERNAMA