
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/YIDE
SHAH ALAM, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, hari ini berkenan menerima sumbangan aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Penyerahan sumbangan berjumlah RM420,000 daripada lapan syarikat korporat dan agensi tersebut berlangsung di Istana Mestika, Shah Alam.
Pengerusi YIDE Datuk Bakhtiar Hussin, berkata sumbangan itu untuk pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah, anak-anak yatim yang terkesan akibat COVID-19 dan pembelian mesin-mesin hemodialisis.
“Pihak yang menyumbang adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Solar Alert Sdn Bhd, Aftacop Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan KDEB Waste Management.

Tengku Amir Shah (tengah) menerima sumbangan korporat daripada MAIS berjumlah RM115,000 untuk aktiviti kebajikan YIDE.
“Turut menyumbang MZR Global Sdn Bhd, Aiman Platinum Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Bakhtiar berkata pihaknya menyerahkan sumbangan dana tahun 2021 berjumlah RM677,000 kepada 19 buah rumah kebajikan seliaan YIDE.
“Tiga buah rumah kebajikan anak yatim telah hadir iaitu Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah Selangor Darul Ehsan (RACTAR) yang menerima RM30,000.
“Rumah Amal Raudhatul Jannah pula menerima RM31,000 dan Rumah Aman (RM30,000),” katanya.
Menurutnya, sumbangan untuk 16 buah rumah anak yatim lagi akan diserahkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE ketika ketika melawat dan menyantuni mereka.
“YIDE merupakan anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim serta bantuan musibah kepada masyarakat Islam di negeri Selangor,” katanya.
-RI