
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Para belia disaran untuk mengambil peluang dengan memanfaatkan segala bantuan-bantuan yang disediakan khas untuk golongan itu.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, peluang yang disediakan kerajaan perlu digunakan secara maksima agar golongan belia boleh bangkit selepas dilanda pandemik COVID-19.
“Antara inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan adalah seperti Skim Perantisan Nasional (SPN) dimana program ini menyediakan peluang perantisan dan pekerjaan kepada belia, Program MyGIG bersama MDEC, Portal Pekerjaan MYFutureJobs (PERKESO), MyCareerFair, Bootcamp,Program Reskilling/Upskilling dan Cross Skilling, Program Agropreneur Muda, dan Inisiatif Usahawan Muda Kota.
“Ini semua bagi memastikan golongan belia dapat membantu perkembangan ekonomi Labuan dan negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sebuah resort, di sini semalam.
Beliau turut menyeru Majlis Belia Labuan (MBL) membantu Perbadanan Labuan (PL) mengembalikan Labuan sebagai sebuah pulau yang membangun selari dengan taraf pulau bebas cukai.
“Saya minta MBL ikut serta dengan PL untuk lihat Labuan terus bangkit dalam pelbagai aspek kehidupan kerana kita mahu Labuan kembali kepada pulau bebas cukai dalam keadaan sebenar,” katanya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Majlis Belia Labuan, Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan Anugerah Kategori Pertubuhan Kebangsaan.
Anugerah Khas Majlis Belia Labuan menjadi milik Mohd Tarmizee Roslan dan Nur Mirza Rasyiqah Nizam, APBN kategori individu Lelaki pula disandang oleh Mohd Norizal Md Jumat manakala Emiziliana Kamil pula bagi Kategori Individu Wanita.
Sementara itu, Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) menjadi johan APBN bagi kategori Pertubuhan selain muncul tempat ketiga bagi kategori sama dalam APBN Peringkat Kebangsaan.
-RI