PUTRAJAYA, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Kos pelaksanaan rangkaian 5G akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan perdagangan dan modal kerja serta program Sukuk yang akan diterbitkan dalam pasaran modal negara.
“Ia juga tidak akan melibatkan apa-apa jaminan atau pembiayaan daripada kerajaan, terutamanya secara tidak langsung, atau dengan izin, off-balance sheet, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Katanya syarikat tujuan khas 5G Digital Nasional Bhd (DNB) akan mendapatkan pembiayaan tersebut melalui perkhidmatan kewangan seperti bank dan ini akan dibayar semula melalui hasil jualan yang dijana daripada penjualan kapasiti secara borong, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai dakwaan kerajaan tidak mempunyai kecekapan seperti sektor swasta dalam melaksanakan atau menyediakan perkhidmatan sedemikian seperti membina rangkaian 5G dan persoalan mengenai kemampuan DNB untuk menyampaikan perkhidmatan 5G dengan jayanya.
Beliau turut menekankan bahawa DNB juga berpeluang dan berpotensi untuk mengecapi kejayaan seperti syarikat milik kerajaan yang lain seperti Petronas, TNB dan Telekom Malaysia.
“Apa yang penting adalah tahap keupayaan tinggi dan profesionalisme dalam pelaksanaan setiap pelan dan strategi,” katanya.
— BERNAMA