Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Penerima Dos Penggalak Rasa Lebih Yakin dan Selamat

By 5 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Penerima vaksin dos penggalak memberi keyakinan bahawa dos berkenaan adalah selamat dan berkesan melawan virus Covid-19.

Beberapa orang penerima yang ditemui meluahkan rasa teruja setelah menerima dos penggalak dan menasihatkan orang ramai untuk segera mengambilnya.

Seorang penerima, Khong Shir Li, 50, berkata dia menerima notifikasi aplikasi MySejahtera untuk beliau disuntik dos penggalak di klinik berhampiran.

“Peringkat awal memang ada rasa ragu-ragu tentang dos ini tetapi doktor telah maklumkan bahawa ia baik untuk Imunisasi badan.

“Dos penggalak ini akan lebih melindungi diri kita daripada virus Covid-19 terutama varian-varian baharu,” katanya.

Seorang lagi penerima, Krishnan Rajapan, 59, berkata dirinya bersedia menerima dos berkenaan untuk melindungi diri dan keluarga.

“Kerajaan telah beritahu dos ini sangat bagus dan saya galakkan orang lain mengambilnya.

“Jangan takut kerana sekiranya dijangkiti virus ini diri kita akan jadi lebih teruk,” katanya yang bertugas sebagai penyelia kilang.

Muhammad Zaim menunjukkan temujanji dos penggalak yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera.

Muhammad Zaim menunjukkan temujanji dos penggalak yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera.

Bagi Muhammad Zaim Aiqal Zainuri, 19, pula beliau menasihatkan agar orang ramai tidak perlu gusar tentang keberkesanan dos penggalak.

“Saya galakkan orang ramai khasnya remaja-remaja untuk segera ambil dos ini bagi menjamin imuniti diri kita.

“Tidak perlu takut, tiada kesan apa-apa pun mungkin sekejap sahaja,” kata pelajar Politeknik Melaka itu.

Mereka ditemui ketika menerima dos penggalak tersebut di Klinik Wong Singh, di sini hari ini.

Mengikut data ProtectHealth Sdn Bhd, anak syarikat di bawah KKM memaklumkan lebih 300 klinik swasta sekitar Selangor berdaftar dengan kementerian itu untuk menjayakan vaksinasi dos penggalak.

(Kanan) Dr Mohammad Miqdam memberikan konsultasi sebelum disuntik dos penggalak.

(Kanan) Dr Mohammad Miqdam memberikan konsultasi sebelum disuntik dos penggalak.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Wong Sing, Dr Mohammad Miqdam Mustakim, memaklumkan pihaknya memberikan dos penggalak kepada penerima yang layak bermula penghujung bulan Oktober lalu.

“KKM memperuntukkan 30 hingga 60 dos penggalak sehari kepada pihak kami untuk penerima yang layak menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, setiap penerima dos penggalak akan diberi konsultasi mengenai dos tersebut sebelum proses suntikan.

“Kerisauan penerima adalah mengenai keberkesanan campuran dua vaksin berbeza sebagai dos penggalak.

“Penerima tidak perlu risau kerana kajian yang dijalankan KKM menunjukkan dos penggalak hasil kombinasi dua vaksin lebih efektif,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata dos penggalak akan diberikan kepada individu telah menerima dos lengkap vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.

Beliau berkata, mereka yang layak akan menerima notis dalam MySejahtera atau menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

-RI

Tinggalkan komen anda