
Laporan/foto: Muhammad Naim / Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 22 Nov (Malaysiaaktif) –Seramai 34 orang penduduk Kampung Serampang Indah telah menerima geran hak milik tanah untuk fasa ke -3 pada hari ini dan yang terakhir, sekali gus telah menyelesaikan masalah yang dihadapi selama lebih 40 tahun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri merakam ucapan terima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh Thamarai Holdings Sdn Bhd dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung dengan memberikan sebahagian tanah daripada keseluruhan saiz tanah pajakan tanah GATCO yang dibeli syarikat tersebut melalui lelongan awam pada tahun 2004.
“Seramai 149 orang penduduk asal telah menerima tanah seluas empat ekar manakala seramai 62 penduduk yang membeli daripada penduduk asal menerima tanah seluas dua ekar” ujarnya.
Tambah beliau, penduduk kampung telah berjuang selama lebih dari 40 tahun untuk mendapatkan hak milik tanah ini, dan akhirnya dapat diselesaikan.
“Justeru diharap agar mereka tidak culas untuk membayar cukai dimana segala kemudahan untuk membayar cukai telah disediakan termasuklah dengan memberi setiap pejabat daerah van bergerak bagi kaunter kutipan cukai,” katanya ketika majlis penyerahan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, di sini baru-baru ini.
Sementara itu menurut Peruma Yee, 79, beliau meluahkan rasa gembira walaupun terpaksa menunggu lama.
“Walaupun saya terpaksa menunggu lama tetapi saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana penantian untuk mendapatkan hakmilik tanah telah menjadi kenyataan ” ujarnya.
Manakala Ahddiah Abu Kasim, 52, yang merupakan penduduk asal Kampung Serampang Indah berkata bersyukur kerana usaha arwah suami beliau untuk mendapatkan hak milik tanah ini membuahkan hasil.
“Penduduk Gatco mempunyai sejarah yang panjang dan anak-anak pewaris mesti mengetahui sejarah ini agar mereka dapat menghargai apa yang diperolehi bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Tambah beliau lagi, sudah mendapat hakmilik tanah perlu laksana tanggungjawab membayar cukai tahunan dan mengusahakan dengan lebih baik.
-FF