
Laporan /foto : Malini Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Senaman aerobik adalah sukan yang amat menyeronokkan kerana bersukan mengikut rentak musik dan berkumpulan.
Selain itu juga, ia adalah salah satu bentuk senaman yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak kira peringkat umur, dilakukan dimana-mana sahaja mengikut kesesuaian keadaan dan tempat sesuai untuk golongan kanak-kanak, orang muda, dewasa dan juga warga tua.
Bagi memperluaskan kefahaman berkaitan konsep Keluarga Malaysia, Pejabat Penerangan Daerah Rembau dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Rembau dan Kelab Sukan dan Kecergasan Fit Aero mengadakan Program Senamrobik Sepakat Keluarga Malaysia (Aerobik dan Aero Dance Challenge) di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Chembong disertai pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa berjaya melibatkan penyertaan seramai 200 orang terdiri daripada ahli PERKEP, ahli KRT, Kelab HYO, agensi kerajaan, pertubuhan belia, pelajar IKTBN dan komuniti setempat.
Program dijalankan dalam suasana harmoni dan muhibbah berkonsepkan senamrobik santai kerana peserta terdiri dari bangsa Melayu, India dan Cina yang seronok dan bergembira meraikan kebersamaan dalam sukan.
Menurut Shahnon Mohamad, Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, “Program hari ini menarik kerana kita dapat mencipta ruang untuk meneruskan merealisasikan semangat Keluarga Malaysia terutama dalam kalangan masyarakat terutama komuniti setempat.
“Hari ini penyertaan ada orang Melayu, India, Cina dapat bersama-sama menjayakan senamrobik santai secara tidak langsung merapatkan hubungan antara kita dalam Keluarga Malaysia sepertimana dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri supaya kita merapatkan jurang, menyatakan tekad dan berazam membangunkan Malaysia bersama,”katanya ketika ditemui selepas program senamrobik, di sini semalam.
Tambah beliau, tidak kira siapa kita, apa latarbelakang sebagai rakyat Malaysia kita semua adalah Keluarga Malaysia yang mempunyai nilai-nilai saling menyayangi, saling membantu, saling menghormati dan merapatkan jurang mengelakkan perselisihan, menolak perbezaan tetapi menyatukan kita semua dalam satu keluarga yang dinamakan Keluarga Malaysia.
Menurut Fairuz Mohamad Nor, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rembau, “Program yang mempromosikan konsep Keluarga Malaysia hari ini dianggap berjaya kerana pelbagai bangsa datang menyertai sukan senamrobik dan sambutan menggalakkan terbukti program berbentuk sukan mengukuhkan perpaduan serta tekad rakyat untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi memacu pertumbuhan Malaysia dan memperkasa kesejahteraan rakyat dengan menolak perbezaan dan meraikan keharmonian dan persamaan.
Penganjuran program ini walaupun dalam suasana norma baharu namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan ternyata ia berjaya menonjolkan konsep Keluarga Malaysia.” katanya.
Turut hadir bersama Norazrin Kamsor, Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar, IKTBN Chembong.