
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 kekal mencatat arah aliran menurun dengan 3,160 kes dilapor semalam berbanding 3,528 kes kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Semalam adalah hari keenam berturut-turut negara merekodkan angka kes harian di bawah 4,000 dan kali terakhir jumlah kes melebihi 4,000 adalah pada 18 Disember lepas dengan 4,083 kes.
Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini ialah 2,738,401.
“Daripada keseluruhan jumlah kes hari ini (Sabtu), 3,004 melibatkan kes tempatan manakala 156 kes lagi adalah kes import.
“Sebanyak 3,094 kes atau 97.9 peratus terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala 66 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Dr Noor Hisham berkata kes sembuh mencatatkan 4,421 kes menjadikan kumulatif kes sembuh ialah 2,661,495.
Sementara itu, 324 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 175 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau memaklumkan tiga lagi kluster baharu dikesan menjadikan 223 kluster masih aktif setakat ini.
Mengenai perkembangan banjir, Dr Noor Hisham berkata hingga 3 petang semalam terdapat 409 kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, bagaimanapun tiada kes COVID-19 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya 185 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir.
“Ia melibatkan 103 kes jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit (52), Acute Gastroenteritis (AGE) (22) dan konjunktivitis (8),” katanya.
— BERNAMA