
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 3,386 kes baharu COVID-19 dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,761,472.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 46 kes (1.4 peratus) adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima, manakala 3,340 kes (98.6 peratus) lagi adalah Kategori Satu dan Dua.
Beliau memaklumkan kes harian itu melibatkan 3,040 kes penularan tempatan dan 346 kes import, sementara 3,547 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh kumulatif kini 2,688,925.
“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 273 dan 159 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Dr Noor Hisham berkata lima lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 215 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.98 setakat kelmarin.
Mengenai kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata setakat hari ini, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan tiada kes baharu semalam, manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 451 orang, termasuk tujuh kes baharu semalam.
Katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.
Katanya terdapat tujuh kes penyakit berjangkit dikesan melibatkan mangsa banjir semalam, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak empat kes, penyakit kulit (2) dan Acute Gastroenteritis (AGE) (1).
— BERNAMA