
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Salmiah Md Ani (Sik)
SIK, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 32 orang peserta telah menyertai program Rakan Muda Day Out anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sik membersihkan kawasan rekreasi Lata Mengkuang dalam usaha bagi memastikan keindahan kawasan rekreasi ini terus terpelihara.
Pegawai Belia dan Sukan Sik, Siti Salmiah Md Ani berkata program ini dilaksanakan secara kerjasama strategik antara jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan terlibat sebagai salah satu inisiatif bagi memupuk semangat sukarelawan sosial serta cintakan alam sekitar.
“Diharapkan aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat betapa pentingnya untuk terus menjaga dan memelihara alam sekitar bagi tatapan generasi yang akan datang,” ujarnya lagi.
-ZS-