
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 47,000 orang pelajar sekolah di daerah Johor Bahru menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan Johor (BPAJ) secara sekali beri RM150 yang mula diserahkan sejak minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata serahan BPAJ melibatkan 147 buah sekolah menengah dan rendah.
“Bagi daerah Johor Bahru peruntukan sebanyak RM7 juta disalurkan menerusi Yayasan Pelajaran Johor dan saya amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap kebajikan pendidikan di negeri ini,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian BPAJ Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Johor Bahru, di sini semalam.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, Azfar Zahiril, 10, berkata beliau sangat gembira menerima bantuan tersebut yang akan digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran seperti peralatan buku dan alat tulis.
“Saya akan gunakan duit ini untuk membeli pensil, kotak pensil dan pensil mewarna. Terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.
-ZS-