Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

KPDNHEP Lancar Operasi Gempur Aktiviti Sorok Barang Kawalan – Menteri

By 23 Jun 2022Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 2,200 anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan di seluruh negara untuk menggempur aktiviti menyorok barang kawalan susulan pengumuman beberapa harga barang akan diapungkan 1 Julai ini.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah tersebut bagi memastikan barang makanan negara sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi pengguna dengan harga berpatutan pada setiap masa.

“KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan aktiviti menyorok barang kawalan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan boleh didenda RM1 juta hingga RM5 juta selain tindakan penggantungan dan pembatalan lesen.

Beliau berkata demikian ketika meninjau stok dan harga barangan keperluan harian di sebuah pasaraya, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Roziah Abudin dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda