
Laporan/foto: Zaidy Salim/Jabatan Penerangan (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa memberitahu media enam syarikat telekomunikasi dijangka akan memegang kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan infrastruktur 5G negara melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN).
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini, semuanya (berlangsung) mengikut rancangan. Rundingan telah dibuat dan mereka telah mencapai kesefahaman yang pasti dan kesemuanya akan diputuskan pada 8 Julai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Cisco International Ltd., di sini semalam.
“Sabar, ia akan hanya mengambil masa tujuh hingga lapan hari lagi untuk membuat pengumuman rasmi. Ia akan ada enam telco, hanya yang mempunyai rangkaian. Tiga mempunyai spektrum, tetapi tidak mempunyai rangkaian.
“Setiap telco akan memegang jumlah saham yang sama dalam DNB,” katanya.
Semalam adalah tarikh akhir untuk telco memuktamadkan kontrak rangkaian 5G dan urusan ekuiti di syarikat tujuan khas tersebut.
-ZS-