
Laporan/foto: Eviannie Kin (Sabah)/GM Klang
KLANG, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Berita baik buat produk industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah apabila Pusat Pemborong Terbesar di Malaysia, GM Klang menawarkan inisiatif ruang pameran produk dan premis runcit bermula Ogos ini.
Pengurus Komunikasi Korporat Norsuhaida Othman berkata inisiatif itu adalah untuk memperkenalkan dan mendedahkan lebih banyak produk Sabah kepada pihak luar.
“Terkini GM Klang dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) telah menandatangani satu perjanjian kerjasama untuk mewujudkan ruang pameran serta premis runcit bagi penjualan barangan IKS hasilan dari Sabah.
“GM Klang mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri untuk mempamerkan produk-produk hasilan negeri-negeri mereka di Tingkat Enam Blok B, GM Klang,” katanya sempena Program Fam Trip Edisi GM Klang bersama Media Borneo 2022, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu media dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan turut dibawa melawat ke beberapa lokasi pelancongan di Klang.
-ZS-