Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

50,000 Pengunjung Banjiri Dataran Merdeka Saksikan Hari Kebangsaan 2022

By 31 Ogos 2022September 1st, 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 50,000 orang membanjiri Dataran Merdeka hari ini bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Ahli ‘Keluarga Malaysia’ telah mengambil tempat di kawasan yang dikhaskan seawal 6.00 pagi lagi, selepas dua tahun negara tidak mengadakan sambutan berkenaan secara besar-besaran berikutan pandemik COVID-19.

Menurut Siva Vengadasan, 53, dari Taman Selayang, Kuala Lumpur, sejak 1989 hingga kini beliau akan datang Dataran Merdeka bagi menyaksikan sambutan yang cukup bermakna ini.

“Saya menaiki kereta bersama-sama keluarga seawal pukul 6.30 pagi kerana ingin menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

“Saya berharap agar ekonomi negara akan lebih stabil dan isu-isu perkauman yang boleh mececah belahkan rakyat tidak lagi timbul,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sementara itu, Muhamad Zaini Daud, 35, sanggup menginap di hotel berdekatan bersama-sama isteri dan tiga orang anak semata-mata untuk menyaksikan perarakan secara langsung ini.

“Kali terakhir saya datang dan sertai perbarisan pada 2015 dan harapan saya agar Malaysia dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran,” katanya yang datang dari Bukit Tinggi, Klang.

Dalam pada itu, seorang pelajar sekolah rendah, Lucas Tham, 12, dari Puchong pula begitu teruja untuk menyaksikan perarakan kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia.

“Saya datang bersama-sama keluarga untuk merasai kemeriahan Hari Kebangsaan dan sememangnya cita-cita saya untuk berkhidmat kepada negara sebagai anggota beruniform suatu hari nanti,” katanya.

Turut menyaksikan dalam perarakan kali ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berangkat tiba di Dataran Merdeka dengan menaiki Kereta Kuda Diraja.

-ZS-

Tinggalkan komen anda