
Laporan/foto : Mohd Rafezan Shawal/Mohd Zahid Othman
JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Johor Bahru merupakan lokasi ketiga Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Pengarah Penerangan Negeri, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata, tujuh daerah akan dilawati sepanjang kembara ini berlangsung setelah hampir 2 tahun tidak dapat dianjurkan akibat pandemik COVID-19.
“Tujuan utama kembara ini diadakan adalah bagi memupuk semangat cintakan tanah air dikalangan rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di merata tempat” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, ADUN Tiram, Azizul Bachok berkata, kembara yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan melalui Pejabat Penerangan Daerah ini sungguh bermakna dan sangat dinanti-nantikan setiap kali tibanya bulan kemerdekaan.
“Kembara ini perlu diteruskan kerana memberikan impak yang positif dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik sempena Hari Kebangsaan,” katanya ketika ucapan di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Tiram.
Kembara Merdeka Keluarga Malaysia Negeri Johor telah bermula pada 14 Ogos 2022 dan akan berakhir pada 16 Ogos 2022 di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah.
-ZS-