
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia Menyusuri Sungai Johor berkonsepkan konvoi bot berhias Jalur Gemilang yang julung kali diadakan berjaya menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022 di daerah ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor Norlizah Noh konvoi bot ini akan singgah di kampung-kampung persisiran Sungai Johor bagi mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang.
“Kempen Kibar Jalur Gemilang HKHM 2022 perlu dipromosikan secara berkesan melalui aktiviti-aktiviti bertemu rakyat seperti ini. Justeru program pada hari ini amat bertepatan selaras dengan tema hari kebangsaan Keluarga Malaysia Teguh Bersama agar semangat patriotisme Bangsa Johor dapat dipertingkatkan,” ujarnya ketika merasmikan program di Jeti Kampung Johor Lama, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Fauziah Misri dan ADUN Tanjung Surat Aznan Tamin.
-ZS-