
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran bakal dicipta menerusi program ‘Academy In Factory'(AiF) pada tahun ini.
Katanya, program bermula Mac tahun ini adaah kolaborasi awam-swasta yang strategik bagi membangunkan bakat-bakat tempatan dalam bidang farmaseutikal, kimia dan automotif yang terkandung dalam Dasar Pelaburan Negara.
“Namun, tahun 2025 dijangka AiF mampu menyedia dan mencipta 300,000 pekerjaan baharu dikalangan belia-belia melibatkan kemahiran dan bakat yang tinggi sekaligus meningkatkan produktiviti negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, dasar-dasar progresif dan mesra pelabur yang dilaksanakan Malaysia telah mula menunjukkan kesan positif.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku tahun kedua 2022 meningkat 8.9 peratus berbanding keseluruhan tahun lepas 3.1 peratus,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan AiF sempena Karnival Belia Produktif di Taman Melawati, hari ini.
-ZS-