
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kalinya menganjurkan Program ‘Road March’ sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Dataran Merdeka, hari ini.
Program kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan Malaysia ini bertujuan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat Keluarga Malaysia menyaksikan perarakan dan persembahan terutamanya dari Cawangan Pancaragam PDRM.
Menurut Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, inisiatif sebegini memberi kelainan dalam kalendar Sambutan Peringatan Hari Polis pada kali ini, sebagai satu usaha PDRM mendekati masyarakat selari dengan tema Polis dan ‘Masyarakat Berpisah Tiada’.
Turut berlangsung mini karnival dengan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya, aksi payung terjun Pasukan VAT 69 Komando PDRM, perarakan Unit Berkuda, kenderaan dan aset PDRM, persembahan aksi Tiger Paltoon, Unit K-9, aksi menunggang motosikal PDRM, pameran helikopter dan aset PDRM serta kereta Lamborghini dan motosikal Harley Davidson.
-ZS-