
Laporan/foto: Hazlinah Samsir
RANAU, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat digesa meningkatkan ilmu pengetahuan untuk mencegah diri menjadi mangsa jenayah siber.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata kebanyakan yang manjadi mangsa adalah kerana tidak tahu taktik-taktik terkini yang digunakan penjenayah.
“Oleh itu, Program Pencegahan Jenayah Dalam Talian yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu digunakan sepenuhnya dalam mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa bagi mengetahui modus operandi penjenayah,” katanya dalam program itu di Dewan Masyarakat Ranau, hari ini.
Tambah beliau, sudah tiba masa penduduk di Ranau mendapat penjelasan secara terus daripada anggota polis yang berpengalaman dalam jenayah siber serta mengambil pengajaran daripada perkongsian kes-kes jenayah siber yang dikongsikan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, Datuk Zabidi Md Zain berkata pihak polis Sabah terus memantau dengan rapi serta giat melakukan aktiviti pencegahan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat.
“Pada tahun 2020 sebanyak 119 aktiviti pencegahan dilaksanakan pihak polis di Sabah, 156 aktiviti pada tahun 2021 dan setakat Julai 2022, sebanyak 191 aktiviti telah dilakukan,” kongsinya.
-ZS-