
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/KPJ Johor
JOHOR BAHRU, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Ahmad Fikri Abdul Rahman, 26, tidak menyangka isterinya akan melahirkan anak perempuan pada 31 Ogos kerana isterinya telah mengadu sakit perut sejak awal pagi 30 Ogos.
Nurul Naquiah Azmi, 26, selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira jam 12.18 pagi yang disambut Pakar Perunding Obstetik dan Ginekologi Hospital Pakar KPJ Johor Dr Noorashikin Maan.
Menurut Ahmad Fikri beliau dan isteri amat teruja apabila anak mereka lahir pada tarikh keramat dan bersejarah buat negara ini.
“Saya berharap puteri sulung saya ini akan membawa tuah buat kami selain membesar dengan sihat, dapat membanggakan kedua ibu bapanya serta menyumbangkan khidmat bakti kepada negara pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Fikri yang bertugas sebagai jururawat di hospital berkenaan turut memanjatkan kesyukuran kerana isterinya melahirkan anak dalam keadaan yang selamat dan dipermudahkan.
Kedua-dua pasangan tersebut turut menerima beg khas dan cenderahati dari pihak pengurusan Hospital Pakar KPJ Johor.
-ZS-