
Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)
MELAKA, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini malam tadi disambut dengan penuh pengertian oleh golongan belia di negeri ini.
Seorang operator pengeluaran Noorizzati Shukor, 21, menaiki motosikal selama 20 minit bersama rakannya dari Bukit Lintang Air Molek semata-mata untuk menyaksikan persembahan ini secara langsung.
“Saya dan kawan ke sini untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan melihat suasana sebenar persembahan peringkat kebangsaan yang diadakan di Melaka ini.
“Yang paling menarik perhatian adalah persembahan etnik dari Sabah dan Sarawak serta tarian sewang, dan seharusnya kita merasa bertuah kerana dapat hidup aman damai walaupun berbilang bangsa,” katanya.
Sementara itu, Omar Aliff Gapar, 23, dari Selandar kelihatan sangat teruja dan gembira ketika ditemui di tapak sambutan ini.
“Walaupun baharu semalam mengetahuinya, saya bersama-sama dua rakan tidak sabar-sabar untuk memeriahkan program ini dan tambah teruja apabila dapat menyaksikan persembahan nyanyian Datuk Jamal Abdillah,” kata graduan Politeknik Kota Bharu, Kelantan ini.
Seorang pengunjung dari Air Leleh, Lim Kin Gua, 30, hadir untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api setelah sekian lama tidak menyaksikannya.
“Saya datang bersama-sama ibu setelah mengetahui mengenai sambutan ini di Facebook dua hari lalu,” katanya.
-ZS-