
Laporan/foto: Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Program Berkhatan Perdana bakal memberi pengalaman baru kepada 76 orang kanak-kanak yang menyertai program tersebut di sini baru-baru ini anjuran Hospital Jempol dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk dari Pakar Bedah Jabatan Pembedahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah.
Seramai 30 orang Pegawai dan Pembantu Perubatan dari hospital-hospital yang terpilih di Negeri Sembilan terlibat untuk mengikuti program Berkhatan Perdana ini.
Pada masa yang sama semua kanak-kanak yang menyertai program tersebut telah dimandikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Jempol bagi mengurangkan perasaan takut semasa berkhatan.
Menurut Maswan Che Pa, 36, bapa kepada dua orang anak yang menyertai program tersebut, ini adalah salah satu insentif kepada masyarakat yang tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk menghantar anak-anak berkhatan di klinik-klinik swasta atau kerajaan.
“Untuk program ini ibu bapa hanya perlu membayar sebanyak RM60 sahaja yang selebihnya ditanggung oleh Ahli Parlimen Jempol,” katanya.
“Program sebegini perlu diteruskan lagi terutama kawasan-kawasan pedalaman bagi mendapat penyertaan yang lebih ramai,” tambahnya lagi.
-ZS-