
Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Mohd Hafizi (Jempol)
JEMPOL, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Gelora meraikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan Komuniti Keluarga Malaysia Zon Bahau.
Program yang dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Indah itu telah membuktikan bahawa sambutan Hari Malaysia bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ disambut dengan begitu meriah dan jayanya oleh seramai lebih kurang 1000 orang yang hadir di kawasan perumahan di kampung tersebut, di sini petang kelmarin.
Menurut Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Haji Mohd Salim Mohd Sharif beliau sangat berbesar hati dan begitu teruja melihat semangat dan kehadiran orang ramai pelbagai kaum pada petang itu.
“Jika kesepaduan sebegini dapat dijana dan dipelihara, saya yakin dan percaya ini akan lebih memudahkan pihak kerajaan untuk mentadbir urus negara serta akan lebih banyak lagi usaha untuk memajukan rakyat serta membangunkan negara akan dapat dilaksana.
“Sokongan yang padu dari kalangan masyarakat amatlah diperlukan dan ini terbukti apabila pelbagai projek untuk kepentingan rakyat di daerah ini telah dapat dilaksanakan serta ada yang masih dalam pembinaan,” katanya.
Menurutnya lagi, kesepaduan yang ada ini diharap dapat terus dipelihara dan dizahirkan semasa pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.
Mohd Salim turut menyampaikan bantuan kewangan kepada beberapa persatuan yang terdapat di kawasan Bahau ini bagi membantu mereka untuk lebih selesa menggerakkan persatuan dan komuniti yang mereka ketuai.
-ZS-