
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Rakyat diseru untuk bersatu hati bersama-sama kerajaan memulihkan negara daripada kesan pandemik COVID-19 dan inflasi global.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias rakyat perlu mengambil semangat Keluarga Malaysia yang teguh bersama dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh tokoh–tokoh kemerdekaan yang terdahulu.
“Semoga roh tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ ini mampu membawa kembali sinar kehidupan yang lebih gemilang seperti mana yang kita nikmati sebelum dilanda badai COVID-19.
“Semangat kebersamaan tokoh–tokoh kemerdekaan terdahulu perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” katanya.
Bashir turut mengajak warga Labuan untuk memberi sumbangan dalam proses pembangunan serta kemajuan pulau itu.
“Kepada keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan Labuan, marilah kita bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan serta pembangunan pulau ini, ketepikanlah segala perbezaan kerana Labuan ada satu keunikan yang perlu dipertahan iaitu sifat saling hormat-menghormati dalam kalangan warganya.
“Sematkanlah pulau Labuan yang kita cintai ini ke dalam hati setiap warganya, zahirkan kembali rasa sayang itu kepada tindakan-tindakan seperti meningkatkan produktiviti, meningkatkan modal insan, suburkan perpaduan serta persefahaman dan sentiasa berfikiran positif dalam apa jua perkara,” jelasnya semasa merasmikan Semarak Gemilang Dan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini semalam.
-ZS-