
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah yang terdiri daripada dua kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki.
“PPR Bukit Belah yang siap dibina pada tahun 2020 berkeluasan 16.56 ekar dengan kos sebanyak RM75 juta merupakan bukti sentuhan kasih sayang kerajaan persekutuan kepada rakyat terutama untuk membantu golongan B40 mendapat kediaman selesa, memiliki rumah mampu milik dan selaras dengan usaha kerajaan mensasarkan satu keluarga satu rumah.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata demikian di Majlis Penyerahan Skim Perumahan Secara Sewa-Untuk-Milik (RTO) Program Perumahan Rakyat (PPR) Batang Merbau, Tanah Merah dan PPR Bukit Belah, di sini semalam.
Penyerahan rumah tersebut melibatkan 161 penerima iaitu 140 daripada PPR Bukit Belah dan 21 daripada PPR Batang Merbau.
Mengulas lanjut Nga, berkata di Negeri Kelantan terdapat lima projek PPR yang akan menyediakan 5,000 unit rumah dengan kos perbelanjaan melebih RM900 juta.
Sementara itu seorang penerima Norheliati Yaacob, 49, berasa bersyukur kerana dapat memiliki rumah PPR seterusnya membolehkannya menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini di rumah baharu.
“Rumah PPR ini dapat menjaga kesejahteraan dan keselesaan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Hilmi Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.
-ZS-