
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Menjelang Aidilfitri yang semakin hampir, Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali Jalan TAR sesak dibanjiri orang ramai untuk membeli persiapan menyambut ketibaan Syawal.
Tinjauan Malaysia Aktif semalam mendapati, orang ramai mengambil kesempatan memanfaatkan cuti hujung minggu ini untuk mencari barangan keperluan hari raya.
Cuaca panas terik tidak menghalang pengunjung membeli belah bersama keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan.
Peniaga aksesori, Puteri Khairul Azura, 25, berkata kadar pengunjung sangat tinggi pada hujung minggu berbanding hari biasa.
“Sabtu dan Ahad lebih meriah serta ramai dari siang sampailah ke tengah malam berbanding hari biasa.
“Hari ini lagi ramai yang datang membeli-belah,” katanya.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui menyifatkan Jalan TAR antara tempat yang paling mudah untuk mendapatkan kelengkapan Aidilfitri daripada pakaian, hiasan sehinggalah kuih raya selain banyak pilihan di satu lokasi.
“Bazar Lorong TAR lebih banyak pilihan berbanding pusat membeli-belah. Lagi pun harga yang ditawarkan peniaga di sini berpatutan dan mampu milik,” kata Mohamad Hairi Rosni, 42, pengunjung yang hadir bersama isteri dan anak untuk mencari baju raya.
Selain Jalan TAR, kawasan sekitarnya termasuklah Pusat Beli Belah SOGO, KL dan Masjid India bertambah meriah dan sesak dengan kehadiran ribuan pengunjung hari ini.
Beberapa jalan utama menuju lokasi itu juga mengalami kesesakan khususnya di Jalan TAR, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak dan Jalan Dang Wangi.
-ZS-