
Laporan/foto: Nurul Habibah Hassan (Manjung)
MANJUNG, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Pantai Teluk Senangin mungkin tidak sepopular Pulau Pangkor yang terkenal di daerah ini namun ia tetap mempunyai daya tarikan tersendiri.
Terletak kira-kira 21 kilometer dari bandar Sitiawan, Teluk Senangin menjanjikan ketenangan dari hiruk piruk kota.
Menurut pengunjung dari Seri Manjung yang hanya mahu dikenali sebagai Zalina, 38, dia tertarik dengan pemandangan yang indah dan keadaan pantai yang amat bersih.
“Saya sering bertandang ke sini untuk beriadah bersama keluarga kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan termasuk berkhemah, berkelah dan memancing selain pelbagai aktiviti lain yang ditawarkan seperti berkayak dan menaiki ‘banana boat’,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Pengunjung pantai tidak perlu risau kerana tiada cas bayaran masuk selain kawasan pantai ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas awam, deretan kedai makan dan cenderahati serta kawasan parkir kenderaan yang luas.
Teluk Senangin juga mempunyai banyak pilihan resort, chalet dan homestay buat pengunjung yang ingin bermalam di sini.
-ZS-