
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 17 Apr (Malaysiaaktif) – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyantuni 2,000 veteran angkatan tentera menerusi program Sinar Aidilfitri bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) tahun ini.
Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin, berkata sejumlah RM200,000 peruntukan disalurkan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.
“YLTAT dan JHEV bekerjasama membuat kunjungan kebajikan ke rumah veteran ATM yang mengalami sakit kritikal serta daif.
“Jenis bantuan yang diberikan seperti bantuan tunai ‘one off’, bantuan makanan, peralatan kesihatan di samping bertanya khabar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni veteran ATM, Abdullah Ramli, 63, yang menghidap angin ahmar di Gombak Permai hari ini.
Turut hadir Pengarah JHEV Selangor, Komander Azman Yusoff dan Pengerusi Persatuan Veteran ATM cawangan Gombak, Ali Amran Mat Lawan.
Menurut Mohd Nizar, pihaknya melaksanakan program secara berfokus dan bersasar berbanding tahun sebelumnya.
“YLTAT bergerak bersama JHEV supaya tidak berlaku pertindihan penerima manfaat atau keciciran penerima,” jelas beliau.
-ZS-