
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Marhaban merupakan salah satu tradisi serta adat masyarakat Melayu dalam meraikan majlis-majlis keramaian berkaitan agama Islam seperti cukur jambul, perkahwinan mahu pun jamuan hari raya.
Bagi satu keluarga di Taman Lagenda Labis, dekat sini mereka cuba mencari kelainan untuk mengadakan majlis marhaban hari raya pada tahun ini.
Menurut guru Sekolah Kebangsaan Sawah Baharu Mohd Zamri Yaakub, 43, beliau dan isteri Noraziradila Nordin, 42, mendapat idea secara spontan untuk mengadakan marhaban secara terbuka di atas jalan berhadapan rumah mereka, baru-baru ini.
“Kami terus menghubungi beberapa jiran berdekatan mengenai cadangan tersebut, lantas idea itu diterima baik oleh mereka.
“Sebanyak enam buah rumah telah bersetuju berganding bahu bagi menjayakan marhaban terbuka dan jemputan yang hadir pada hari ini dianggarkan seramai 70 orang,” katanya.
Katanya, marhaban terbuka dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama jiran tetangga dalam kawasan taman ini dan sekali gus dapat beramah mesra antara satu sama lain.
“Kami terpaksa meminjam sebanyak 12 bidang tikar daripada pihak sekolah saya untuk dibentangkan di sepanjang halaman rumah penduduk dan jamuan untuk tetamu jemputan disediakan secara juadah bawaan.
“Semoga marhaban terbuka ini diteruskan pada tahun hadapan dengan penglibatan lebih ramai penduduk.
“Terima kasih kepada keluarga Mohd Zamri Yaakub, Mohd Azli Jaafar, Mohd Dakuze Ismail, Zainal Mohamad Zain, Nor Emey Jasman dan Mohamad Hanafi Razali kerana menjayakan majlis ini,” katanya.
-ZS-