
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)
KUALA NERUS, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Komuniti di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menikmati potongan diskaun barangan keperluan harian sehingga 40 peratus dalam Program Jualan Rahmah (PJR) sempena Karnival Kita Madani 2023, di sini pagi tadi.
Pengurus Cawangan Gf Mart Mohd Hafiz Zulkipli, berkata sebanyak 16 barangan ditawarkan di bawah harga pasaran antaranya beras, minyak masak botol dua kilogram, tepung gandum, susu pekat, milo, sardin dan beberapa barangan dapur lain.
“Kami anggarkan PJR pada pagi ini memberi manfaat kepada lebih 500 keluarga di sekitar sini dan jualan akan diteruskan pula pada perasmian penutup esok hari,” katanya.
“Sangat membantu rakyat terutamanya kepada golongan B40 di sini dan berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” kata Zahijam Sulong, 58, daripada Kampung Hulu Takir yang datang ke Karnival Kita Madani untuk membeli barangan yang ditawarkan dalam PJR.
Pelbagai aktiviti dijalankan dalam Karnival Kita Madani 2023 yang berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini di Pekarangan Pejabat Ahli DUN Seberang Takir antaranya pameran agensi Kerajaan Perpaduan, derma darah, dikir barat dan subsidi minyak hitam percuma.
-ZS-