
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)/KPDN KL
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur melaksanakan Program Jualan Rahmah (PJR) secara bergerak bermula esok di 33 lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah KPDN KL Ariffin Samsudin, PJR akan diadakan di kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur khususnya di perumahan golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.
βSebelum ini kita buat di pasar-pasar raya di 11 parlimen. Tapi pada kali ini kita nak mendekati rakyat. Kita nak pergi ke golongan sasaran yang sepatutnya. Jadi, kami bawa PJR secara bergerak ini ke perumahan-perumahan B40 sekitar Kuala Lumpur.
βSetiap parlimen sebanyak tiga lokasi yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen masing-masing dan keseluruhannya ada 33 lokasi jualan bagi fasa pertama yang akan bermula 24 Jun sehingga 1 Ogos, iaitu selama 33 hari kecuali pada hari Jumaat,β katanya.
Menurut Ariffin, program tersebut akan bermula pada pukul 10 pagi pada hari Sabtu dan Ahad manakala pada hari biasa akan bermula pukul 5 petang atau jam 8 malam bergantung kepada permintaan masyarakat setempat.
βPemilihan masa ini adalah hasil rundingkan dengan Ahli Parlimen di kawasan tersebut,β jelas Ariffin ketika ditemui pada sidang media di Pejabat KPDN KL hari ini.
Sebanyak 12 barang keperluan asas utama akan dijual dengan harga rendah berbanding harga pasaran seperti ayam, daging, ikan, beras, minyak masak, telur ayam, santan, kicap, sos cili, Milo dan lain-lain.
-ZS-