Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Ilmu Harus Dikongsi Bersama Komuniti Setempat

By 25 Julai 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Peserta yang menyertai bengkel anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu berkongsi ilmu yang diperolehi bersama komuniti setempat.

Penolong Pengarah Bahagian Kewangan KEMAS Negeri Johor Mohamad Anuar Marikon, berkata objektif penganjuran ketiga-tiga slot bengkel adalah untuk memberi kefahaman program di kawasan luar bandar yang dianjurkan oleh pihaknya.

“Bagi peserta yang terlibat dalam bengkel, apabila kembali semula ke komuniti masing-masing, sila kongsikan idea daripada bengkel ini untuk diterjemahkan kepada komuniti setempat,” ujarnya.

Seramai 100 orang penduduk telah menyertai Bengkel Kecemerlangan Kepimpinan dan Kesedaran Sivik Segamat Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Kampung Kenangan Batu Anam, di sini kelmarin.

Bengkel anjuran KEMAS Daerah Segamat ini bertujuan meningkatkan sokongan komuniti luar bandar terhadap program atau dasar kerajaan dan meningkatkan kerjasama di dalam komuniti bagi menjayakan program jabatan itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip, semua pihak perlu mengangkat KEMAS setaraf dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana KEMAS sudah jauh melangkah ke hadapan.

“Bengkel seperti ini adalah sangat bagus bagi pengerusi-pengerusi di setiap tabika KEMAS kerana kita boleh berkongsi buah fikiran bagi merealisasikan impian kita di setiap komuniti masing-masing.

“Oleh itu, bagi membantu mana-mana kelas seperti kelas jahitan, masakan, komputer yang perlu dibaik pulih atau kekurangan peralatan dan sebagainya, saya akan memberi peruntukan khas RM1,000 kepada kelas-kelas KEMAS dalam parlimen Segamat,” katanya ketika merasmikan bengkel tersebut.

Antara pengisian bengkel adalah ceramah pengurusan program yang efisien, percambahan idea dan perkongsian ilmu serta ceramah kepimpinan.

Turut hadir Pegawai KEMAS Segamat Faridah Saat, Penghulu Mukim Buloh Kasap Rafizan A.Rahman dan Penghulu Mukim Gemas Mohd Shahrul Sidek.

-ZS-

Tinggalkan komen anda