
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menyerahkan bantuan RM345,400 kepada penerima dan Kolej Komuniti di sekitar daerah Segamat, kelmarin.
Pengerusi Masjid Taman Yayasan Ramlee Ramlan, berkata beliau mewakili barisan jawatankuasa masjid serta kariah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak MAIJ Segamat kerana penyerahan bantuan dan memilih masjid tersebut sebagai tempat pelaksanaan program dan Forum Perdana Inspirasi Hijrah Al-Rasul Peringkat Daerah Segamat.
“Apa yang kita hayati daripada forum tersebut adalah kita dapat mengetahui betapa pentingnya zakat dan sedekah dan juga hijrah dapat mengubahkan nasib dan kejayaan seseorang itu,” katanya.
Penerima bantuan perubatan Rijan Ngadin ,70, bersyukur kerana menerima bantuan kos rawatan perubatan berjumlah RM15,000. Saya yakin MAIJ sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Bantuan kos rawatan perubatan ini akan digunakan untuk proses alatan saluran jantung sempit di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.
Forum Perdana Inspirasi Hijrah Al-Rasul tersebut dikelolakan oleh Amin Baitulmal MAIJ Segamat Khairul Anwar Isnin sebagai moderator, Timbalan Mufti Negeri Johor Datuk Haji Ahmad Faisal Mohamed dan Kadi Daerah Segamat Mohamad Hamizan Sayuti sebagai ahli-ahli panel.
Pada majlis tersebut Ahmad Faisal turut menyerahkan cek cura kepada Kolej Komuniti Segamat, Kolej Komuniti Segamat 2 dan Pejabat Pendidikan Segamat.
Turut hadir Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman, Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helmi Datuk Saari, Pegawai Pendidikan Daerah Segamat Abd Rahman Kechik dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan.
-ZS-