
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)/Nurul Ilyani Abdullah (Politeknik Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 20 orang pelajar aliran Pendidikan Khas Integrasi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jeneris, SMK Seri Berang, SMK Tenku Ampuan Intan serta SMK Wakaf Tapai telah menyertai kursus ‘Water Confident and Rescue’ selama dua hari yang berakhir kelmarin di Kolam Aquatik, Tourism Recreation Centre (TRC), Politeknik Hulu Terengganu (PHT), di sini.
Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi Kamaludin Daud, berkata kursus yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan memberi kemahiran asas keyakinan untuk melakukan aktiviti di air.
“Selain turut mendedahkan kemahiran asas untuk melakukan penyelamatan kering (dry rescue) ianya juga untuk memberi kesedaran tentang keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi air,” katanya yang turut menyampaikan sijil kepada para peserta dan guru pengiring.
Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Tahun 2022 kepada 128 warga Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan dan Terengganu.
“Penganugerahan APC ini merupakan satu medium untuk menghargai sebahagian daripada warga POLYCC Zon Kelantan dan Terengganu yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di sepanjang tahun 2022 yang lalu,” katanya.
-ZS-