Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pelajar Digalakkan Kembali Menabur Bakti di Segamat Setelah Berjaya

By 18 Julai 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Pelajar di daerah Segamat digalakkkan agar kembali untuk menabur bakti setelah mereka berjaya di dalam kerjaya mereka.

“Jangan lupa dua perkara ini iaitu jangan lupa jasa ibu bapa dan jangan lupa jasa orang Segamat apabila anak-anak yang kita raikan pada hari ini berjaya dalam kerjaya masing-masing di luar sana dan digalakan menabur bakti di Segamat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip.

Menurut Zahari program tersebut merupakan acara tahunan di daerah itu.

“Terima kasih kepada para penyumbang antaranya Menteri Besar Johor dan lain-lain kerana berjaya mengumpul dana sebanyak RM89,800. Jumlah ini akan digunakan bagi menjalankan aktiviti atau program untuk memantapkan akademik pelajar daripada peringkat bawah lagi,” katanya.

Seramai 10 orang pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum telah diraikan dalam majlis anugerah kecemerlangan anjuran Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Anak Segamat bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, di sini kelmarin.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Anak Segamat Halijah Md Saleh, objektif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut adalah untuk membantu anak-anak Segamat yang cemerlang dari segi akademik serta kokurikulum di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi terutama mereka yang terdiri keluarga B40.

“Terima kasih kepada pihak Pejabat ADUN Buloh Kasap yang sudi berkolaborasi bersama kami selaku salah satu NGO di Segamat demi menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anak Segamat,” katanya.

Hani Adlina Othman 46, ibu kepada Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra, 17, yang cemerlang dalam kokurikulum, berkata program tersebut perlu diteruskan untuk pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk bidang sukan.

“Sumbangan ini boleh membantu anak saya membeli peralatan basikal yang mengalami kerosakan baru-baru ini,” katanya.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Segamat Abd Rahman Kechik dan Ahli Majlis Perbandaran Segamat Mohd Aidil Datuk Othman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda