
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Perak 2023 kembali menghangatkan sambutan Bulan Kebangsaan apabila ekspedisi selama lima hari dari 21 hingga 25 Ogos ini dimulakan sejurus pelepasan dilakukan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nor Sham Rahman di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi semalam.
Dalam ucapannya, Nor Sham, berkata konvoi KMJG ini berkonsepkan kenderaan dihiasi Jalur Gemilang yang akan menyelusuri seluruh negeri Perak.
“Sebanyak 20 buah kenderaan dengan 50 peserta terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi menyertai KMJG kali ini bagi menggelorakan semangat patriotik terhadap Malaysia dan cintakan Jalur Gemilang.
“Saya menyeru semua pihak termasuk jabatan persekutuan dan negeri, badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan seluruh masyarakat supaya memperbanyakkan pemasangan Jalur Gemilang di premis mahupun kediaman,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri selaku ketua konvoi Mohd Rizal Hashim, berkata konvoi ini adalah salah satu segmen daripada program-program kenegaraan sempena Bulan Kebangsaan di negeri Perak.
“Semua program ini adalah rentetan daripada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 16 Julai lalu yang dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan dan menaikkan semangat rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana turut bekerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada JaPen atas penganjuran program ini. Saya berharap semua peserta konvoi dapat memberikan komitmen yang jitu bagi menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat negeri ini untuk memeriahkan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Hari pertama menyaksikan konvoi singgah di beberapa daerah termasuk Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
-ZS-