
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Amirul Azim Othman (Melaka Tengah)
DUYONG, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Konsep Wahana Kekeluargaan yang diketengahkan telah berjaya menarik 1,120 peserta sempena Program Joging Merdeka Madani Melaka 2023 di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong, di sini baru-baru ini.
Presiden Persatuan Jogging Negeri Melaka Nazari Adzim, berkata masyarakat harus membudayakan amalan hidup sihat dengan menjalankan aktiviti senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Dengan adanya program sebegini diharap dapat mempertingkatkan lagi minat dan kesedaran masyarakat untuk terus bersenam, menjaga kesihatan dan pastinya memberi kesejahteraan kepada negara.
“Selain itu, program ini dilihat sebagai satu aktiviti mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 dalam industri pelancongan sukan, dan sudah pasti Negeri Melaka mampu dikenali sebagai Negeri Sukan,” ujarnya.
Turut bersama dalam program tersebut Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mewakili Ketua Menteri Melaka.
-ZS-