
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Segamat telah menganjurkan program pemberian petrol percuma di stesen minyak Petronas Gemereh, di sini semalam bagi mempromosi dan menyebarluaskan informasi berkaitan amalan ibadah zakat.
Menurut Amin Baitulmal MAINJ Daerah Segamat Ustaz Khairul Anwar, program ini bertujuan mempromosi dana zakat bagi kegunaan orang awam serta diberikan dalam bentuk minyak
“Insya-Allah pada masa akan datang program ini akan dilaksanakan di stesen-stesen minyak terpilih.
“Program ini dapat membantu golongan sasar seperti para penunggang motosikal yang terdiri daripada semua golongan lapisan masyarakat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Sebanyak 200 buah motosikal 150cc ke bawah diberikan petrol percuma bernilai RM5 untuk setiap penunggang.
Pengurus Petronas Gemereh Mohd Rahdzi, berkata pemberian minyak percuma ini adalah salah satu usaha untuk meringankan beban rakyat ketika ekonomi negara masih belum begitu stabil lagi
“Terima kasih kepada pihak MAINJ Segamat yang memilih stesen minyak kami sebagai lokasi bagi menjalankan program pemberian minyak percuma kepada semua penunggang motosikal kecil,” katanya.
Salah seorang penunggang motosikal Mohd Fahizan Shah Ramlan, 43, berharap program mempromosi wakaf dan pemberian petrol percuma akan diteruskan setiap bulan kepada seluruh penduduk di sekitar daerah Segamat.
-ZS-