Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Alami Pengalaman Unik Makan dalam Sungai

By 29 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorhayati Ab Aziz (Kampar)/FB La Cottage Cafe and Chalet

SAHOM, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Siapa sangka di kawasan pedalaman kira-kira 17 kilometer dari Plaza Tol Gopeng terdapat sebuah tempat yang menawarkan pengalaman unik makan dalam sungai selain peluang bermalam dalam suasana keindahan alam semula jadi.

La Cottage Cafe and Chalet Kampar merupakan destinasi tepat bagi mereka yang ingin mencuba konsep penginapan dan perkelahan moden sambil disaji pelbagai pilihan lauk-pauk kampung yang lazat.

Menurut pemilik Zainuddin Yatim, 55, kafenya dibuka setiap hari termasuk cuti minggu dan cuti am bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang. Pakej makan tengahari bermula pada harga RM150 untuk satu hidangan bagi enam orang dewasa dan dua orang kanak-kanak.

“Bagi pengunjung luar, mereka boleh memilih untuk bermalam di sini kerana kami menyediakan 16 unit chalet yang mampu memuatkan sehingga 50 orang pengunjung dilengkapi kemudahan tambahan seperti perkhidmatan barbeku dan makan malam,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zainuddin, selain merasai pengalaman makan dan mandi, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah seperti sukaneka, permainan tarik tali, ‘tressure hunt’ dan ‘team building’. Terdapat dua buah kolam renang kanak-kanak turut disediakan.

Kewujudan kafe ini banyak membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk setempat apabila kesemua kakitangan yang diambil terdiri daripada penduduk tempatan malah mereka diberi ruang untuk menjual barangan seperti baju renang, permainan kanak-kanak dan makanan.

Pengunjung Kamal Husin, 35, berkata kafe ini menyediakan suasana makan dalam sungai yang damai ditambah pula dengan keindahan alam semula jadi dan makanan yang enak.

“Maka tidak hairanlah ia semakin dikenali dan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung saban hari,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda