
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 25 Sep (Malaysiaktif) – Program Gerak Rahmah 2023 Peringkat Daerah Dungun melibatkan 25 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) meriah dan berjaya diadakan di Kampung Kolam Paka, di sini kelmarin.
Program anjuran Jabatan Perpaduan Daerah Dungun telah menarik minat lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum menyertai pelbagai acara yang diatur.
Pegawai Perpaduan Daerah Dungun Asmawati Chik@Mohammad dalam ucapan perasmian penutup, berkata program seumpana ini telah dilaksanakan serentak di seluruh negara melibatkan KRT di bawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bertujuan menggalakkan penganjuran aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat setempat seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS).
“Masyarakat perlu bekerjasama dalam penganjuran sesuatu program sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan dan perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Salah seorang Mimi Zahalina Akash, 45, berkongsi rasa gembira melihat hubungan yang baik antara masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya menjalankan kehidupan dengan selesa dan makmur.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya senam seni, ‘fun walk’, ziarah rahmah, pertandingan mewarna, gubahan dan cabutan bertuah.
-ZS-