Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Program Semarak Jalur Gemilang Pupuk Penghayatan Bulan Kemerdekaan

By 14 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Program Semarak Jalur Gemilang@Sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan memupuk penghayatan bulan kemerdekaan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, program itu merupakan satu inisiatif yang baik bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Semoga seluruh warga yang terlibat sepanjang program ini mengorak langkah bersama membangunkan modal insan berlandaskan kejayaan generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air kita.

“Dengan nikmat kemerdekaan ini kita dapat hidup selesa, harmoni makmur serta bertolak ansur dalam menjalinkan hubungan masyarakat berbilang kaum,” katanya semasa merasmikan program itu, di sini pagi tadi.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan–rakan strategik yang menjayakan program itu seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Pendidikan Labuan, Syarikat Petra Resources Sdn Bhd, PETRONITA Labuan, Marrybrown Labuan, Dorsett Grand Hotel Labuan dan Tiara Hotel Labuan.

“Program ini melibatkan kumpulan sasar seperti warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya daripada pertubuhan di bawah jagaan JKM seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PPAWE), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Khidmat Bantu DiRumah (KBDR),” jelasnya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud.

-ZS-

Tinggalkan komen anda