
Laporan/foto: Azfa Saffie
KUALA SELANGOR, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Kolej Vokasional Kuala Selangor (KVKS) semalam mencipta rekod Malaysia Book ff Records (MBOR) dengan penciptaan sajak patriotik terpanjang bertajuk Patriotik Merdeka melalui 157 buah rangkap sempena Hari Terbuka KVKS 2023.
Pengarah Kolej Vokasional Kuala Selangor Mohd Daud Ismail, berkata penciptaan ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan warga KVKS, sekali gus menghasilkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dan berprestasi tinggi.
“Sajak dengan tema Patriotik Merdeka ini telah dideklamasikan oleh seramai 50 orang pelajar dan pensyarah KVKS,” katanya dalam satu temu ramah bersama media sejurus selepas majlis berlangsung.
Terdahulu, KVKS menganjurkan Hari Terbuka selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September bagi mempromosikan program-program KVKS kepada masyarakat setempat khususnya.
“KVKS menawarkan program-program kemahiran seperti Seni Kulinari, Bakeri dan Pastri, Perakaunan, Pemasaran, Animasi dan Teknologi Sistem Pengurusan Pangkalan Data Dan Aplikasi Web,” ujarnya.
Katanya lagi, permohonan masuk ke KVKS Ambilan Sesi 2024/2025 telah dibuka bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 Tahun 2023 yang berminat menyambung pengajian dalam bidang kemahiran.
“Tarikh tutup permohonan pada 17 September 2023 dan pelajar yang berminat boleh layari https://spskt4.moe.gov.my,” katanya.
-ZS-