Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jambatan MTB Baharu di Parit Baru Siap Sepenuhnya

By 16 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Hidayah binti Mohd Izam/Pejabat Daerah Batu Pahat

BATU PAHAT, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Jambatan trafik sederhana (MTB) baharu yang dibina di Parit Baru, Mukim 8 Sri Gading di sini siap sepenuhnya setelah jambatan asal yang berusia lebih 38 tahun runtuh akibat bencana banjir besar yang melanda Batu Pahat tahun lalu.

Jambatan baru ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md. Ali pada Majlis Penyerahan Projek Bina Baru Jambatan MTB Parit Baru, Mukim 8 Sri Gading Batu Pahat, di sini semalam.

“Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 ribu untuk membina jambatan baru ini yang lebih kukuh dan luas.

“Jambatan ini menghubungkan penduduk dengan tanah di seberang yang merupakan kebun sawit punca ekonomi utama penduduk di Parit Baru ini.

“Tahniah juga kepada Jabatan Perairan dan Saliran Daerah Batu Pahat yang menerima projek ini untuk diselia pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Nasri banjir yang melanda sebanyak tiga kali di Daerah Batu Pahat pada tahun lalu telah menyebabkan kerugian ditanggung adalah hampir RM32 juta dan melibatkan banyak kemusnahan di kawasan-kawasan yang dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Parit Raja Nor Rashidah Ramli, berkata kawasan sekitar laluan utama Jalan Parit Botak ini berpotensi dijadikan sebagai kawasan agropelancongan kerana mempunyai kawasan parit dan sungai yang bersih hasil seliaan Jabatan Perairan dan Saliran Daerah Batu Pahat.

“Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sekitar kampung ini turut akan berkembang baik dengan adanya jambatan baru ini,” ujarnya.

Ketua Kampung Parit Baru Norlaili Pardi menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Johor serta Jabatan Perairan dan Saliran Batu Pahat yang berusaha keras untuk membina jambatan baru ini dengan segera.

“Banyak prosedur perlu dilakukan ketika mengkaji keadaan struktur tanah serta kejuruteraan pembinaan jambatan baru yang lebih baik dan kukuh untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Johor Khairudin Abdullah, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Batu Pahat Zuriyati Yusof, Penghulu Mukim 8 Sri Gading Rosman Supaat, Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Ketua-Ketua Kampung Mukim 8 Sri Gading.

-ZS-

Tinggalkan komen anda