
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Program Strengthening Treatment of Offenders Willpower (STOP) akan diperkasakan sebagai persediaan untuk membantu, menyokong dan mengekalkan kepulihan pesalah apabila dibebaskan kelak.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Haji Abdul Aziz Abdul Razak, berkata program STOP adalah bertujuan untuk merangsang kepulihan diri penghuni penjara dengan melibatkan peranan daripada kakitangan penjara yang terlatih sebagai fasilitator dan ahli keluarga penghuni selaras dengan hasrat jabatan untuk memartabatkan institusi penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan.
“Program ini adalah hasil inovasi daripada konsep Kaunseling Kelompok yang akan memberi penekanan terhadap eksplorasi punca keterlibatan seseorang penghuni dengan penyalahgunaan dadah atau jenayah serta memperjelaskan kesan pemenjaraan yang akan dihadapi oleh keluarga.
“Pelaksanaan program ini akan membolehkan fasilitator untuk mencadangkan solusi terbaik melalui perbicangan secara tiga hala untuk modifikasi semula tingkahlaku seseorang penghuni daripada seseorang yang negatif dan berminda jenayah kepada seorang warga yang insaf dan alturistik,” katanya.
Menurutnya lagi, pengendalian program tersebut akan dilaksanakan secara sukarela khususnya daripada pihak keluarga sendiri dengan cara bersemuka bersama penghuni yang sedang menjalani program pemulihan dan rawatan dalam fasiliti sebagai bentuk pengukuhan sebelum menjalani mana-mana Perintah Koreksional seperti Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) atau Pelepasan Secara Perintah Parol dan Program Reintegrasi Penghuni.
Abdul Azizi berkata demikian di program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia, di sini semalam.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun telah merasmikan program tersebut.
Program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia diadakan selama tujuh hari bermula 1 hingga 7 Oktober di NSK Seremban 2. Berbagai program diadakan meliputi info terkini Jabatan Penjara Malaysia dan jualan produk yang telah dihasilkan oleh penghuni penjara.
-ZS-