Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, Sasar ‘Zero’ Jenayah

By 9 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

BACHOK, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok mengalu-alukan sebarang idea dan juga pandangan daripada penduduk setempat untuk menganjurkan sebarang program yang berkaitan dengan masyarakat.

“Ia bertepatan dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ di mana polis sentiasa mengambil berat dalam isu kebajikan melibatkan orang ramai agar matlamat ‘zero’ jenayah dapat direalisasikan.

“Polis sentiasa ada bersama dalam masyarakat bagi membantu menghadapi masalah dari segi jenayah, kesihatan dan keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Pertubuhan Ukhuwah Anak Melawi (PUAM) dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia Daerah Bachok, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Kota Bharu dan Bachok serta Komuniti Madani Kandis telah menganjurkan Program ‘Zero’ Jenayah@Melawi 2023 bertempat di Dataran Pantai Melawi, di sini kelmarin.

Menurut Mohamad lagi, kadar jenayah di Daerah Bachok kini berada dalam keadaan terkawal dan menyaksikan penurunan kes jenayah curi motosikal dan pecah rumah.

“Namun demikian berlaku peningkatan enam kes bagi jenayah rogol berbanding tahun 2022 dan juga terkini jenayah ‘scammer’ yang melibatkan pinjaman along.

“Ibu bapa dan para pelajar perlu mengambil maklum serta meningkatkan kesedaran berkenaan jenayah rogol, gangguan seksual dan buli di sekolah termasuk pusat tahfiz dengan memantau batas pergaulan dan menjauhkan diri daripada menjadi mangsa ‘scammer’ yang menggunakan pelbagai modus operandi termasuk yang terkini pinjaman wang melalui along secara atas talian,” katanya.

Turut diadakan penyampaian 40 bakul makanan kepada penduduk yang kurang berkemampuan sekitar Melawi, pameran oleh AADK Daerah Bachok, Klinik Pergigian Bergerak Negeri Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, acara sukaneka dan cabutan bertuah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda